Tuesday 9 October 2012

Fakta Dan Asas Penternakan Ikan Keli.



Pengenalan Ikan Keli
Ikan keli dikenali sebagai ikan yang berbisa dan mempunyai sengat, rupa bentuknya seakan akan ikan sembilang cuma yang membezakannya ikan sembilang terdapat di laut dan muara-muara sungai manakala ikan keli di dalam parit, sungai dan tali air mahupun paya. Ikan keli mempunyai misai yang terletak berdekatan hidungnya dan berfungsi sebagai antenna pengesan. Ikan keli mempunyai sistem pernafasan tambahan dikenali sebagai Arborescent Organ pada insang kedua dan keempat. Ini sebabnya mengapa ikan keli boleh bernafas di atas daratan menggunakan oksigen yang sama seperti kita.
            Terdapat Ikan keli yang berwarna perang gelap, hitam dan perang terang. Bagi anak ikan atau larva yang menetas ianya berukuran lebih kurang 3.4 mm manakala ukuran lebar mulutnya adalah 0.28 m. Sirip dada akan tumbuh apabila usianya mencapai 7 hari sepanjang 7 mm dan sirip di perutnya pula berukuran 14.9 mm. Anak ikan ini akan sempurna bentuknya apabila mencapai usia 22 hari sepanjang 24.4 mm.
Weber de Beaufort (1965) mengklasifikasikan ikan keli sebagai:
Filum: Chordata (Binatanag bertulang belakang)
Kelas: Pisces (Mempunyai insang)
Ordo: Ostariophysi ( Mempunyai tulang pada bahagian atas sebagai pelengkap kesimbangan)
Subordo: Siluroide (Panjang dan tidak besisik)
Keluarga: Clariidae (Memiliki ciri khas dengan bentuk kepala yang pipih bertulang keras, sirip dada dilengkapi sengat sebagai senjata dan alat bantuan bergerak juga memiliki alat pernafasan tambahan)
Genus: Clarias
Spesis: Clarius batrachus

• Kualiti air untuk pembenihan.
Parameter
Kandungan
1. Air daripada tanah (bagi persenyawaan den pemeliharaan benih)
» Suhu
» Kepadatan
»Kekeruhan
» Oksigen terlarut
» Karbon dioksida
» pH
» Jumlah ammonia
» Nitrat
» Alkali
2. Air permukaan (untuk bakal induk dan induk)
» Suhu
» Kepadatan
» Kekeruhan
» Oksigen terlarut
» Karbon dioksida
» pH
» Jumlah ammonia
» Nitrat
» Alkali

»25°C - 32°C
»Maksima 400 mg/1
»Maksima 50 NTU
»Maksima 5 mg/1
»Maksima 12 mg/1
»6.5 - 8.5
»Maksima 1 mg/1 jumlah ammonia
»Maksima 0.1 mg/1
»Minima 20 mg/1 CaCO³

» 26°C - 32°C
»Maksima 600 mg/1
»Maksima 250 NTU
»Maksima 5 mg/1
»Maksima 12 mg/1
»6.5 - 8.5
»Maksima 1 mg/1 jumlah ammonia
»Maksima 0.2 mg/1
»Minima 50 mg/1 CaCO³

• Kehidupan Ikan Keli
i.) Ikan keli adalah haiwan yang tergolong dalam golongan karnivor iaitu dari jenis pemakan daging seperti sisa-sisa domestik serta industri termasuk bahagian buangan daripada ayam seperti usus dan perut.
ii.) Makanan semulajadi ikan keli adalah mikro organisma seperti kutu air (Daphnia), Cladocera, dan Copepoda. Cacing, jentik-jentik dan siput kecil juga menjadi makananya. Ikan keli yang diternak makanan yang diberikan adalah pallet (banyak dijual di kedai ikan).
iii.) Lubang merupakan tempat persembunyian ikan keli juga menjadi tempat mereka bertelur. Ikan keli sangat menyukai perairan dan air yang bersih di mana mereka sering berkumpul di muka air yang bersih.
iv.) Dengan menggunakan sengatnya ikan keli mampu bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang lain seperti dari satu tali air ke tali air yang lain. Sengatnya digunakan sebagai kaki untuk memanjat benteng dan sebagainya. Oleh itu benteng yang dibina untuk tujuan penternakan perlulah memiliki ciri-ciri yang dikehendaki bagi menghalang perkara ini daripada berlaku.

• Lokasi penternakan
Lokasi yang bakal dipilih perlulah menepati dan bertepatan seperti aspek ekonomi, sosial dan teknikal. Ini bermaksud penggunaan sumber dari persekitaran dengan sepenuhnya. Ini merangkumi sumber semulajadi dan sebagainya.
Aspek ekonomi merangkumi jarak lokasi dengan pusat jualan. Ini bagi menjamin kualiti ikan sentiasa terjaga. Aspek teknikal adalah di mana keperluan tenaga kerja yang pakar dan diiktiraf tentang selok- belok ikan keli dari segi biological, tumbesaran, pencegahan atau pengawalan pemangsa dan penyakit, makanan dan penggumpulan hasil.

• Kuantiti dan kualiti air yang digunakan.
Air adalah faktor yang terpenting dalam industri ini. Ini bersumberkan sungai, parit, tali air malahan air paip. Kuantiti air yang digunakan tidaklah terlalu besar dan membebankan seperti penternakan ikan dari jenis atau baka yang lain. Ini kerana kelebihan yang dimiliki oleh ikan keli itu sendiri iaitu alat pernafasan tambahan. Alat pernafasan ini membolehkan ikan keli bernafas menggunakan oksigen biasa ataupun udara bebas. Jumlah air mengalir yang diperlukan untuk tujuan penternakan ikan keli adalah 10 liter/min sahaja.
           Bagi tujuan pembenihan pula, air dari sumber seperti telaga amat sesuai digunakan samaada semulajadi ataupun telaga biasa. Dari segi fizikal sifat air merangkumi suhu, kekeruhan serta warna air. Sifat kimia air pula adalah kandungan oksigen, karbon dioksida, pH, ammonia dan alkali yang terdapat di dalamnya. Manakala sifat biologikal pula merangkumi jumlah haiwan akuatik yang terdapat di dalamnya seperti mikroorganisma (plankton, kutu air dan sebagainya). Kelarutan oksigen di dalam air dipengaruhi oleh suhu serta nitrogen di dalam air pada tekanan atmosfera biasa (1 atm), rujuk jadual di bawah.
Suhu air (°C)
Oksigen (ppm)
Nitrogen (ppm)
20
21
22
23
24
25
26
27
28
29
30
9.1
8.9
8.7
8.6
8.4
8.2
8.1
7.9
7.8
7.7
7.5
14.9
14.6
14.4
14.1
13.9
13.6
13.4
13.2
13.0
12.8
12.6

• Struktur tanah
Untuk membina sesuatu kolam, tanah merupakan faktor yang penting dan sangat-sangat diambil kira. tanah yang baik akan menentukan ketahanan dan kekukuhan sesuatu kolam terutamanya bahagian permatang dan sempadan. Ciri-ciri kolam yang baik adalah ianya tidak cepat kering dan mempunyai daya penyerapan air yang rendah. Di antara jenis-jenis tanah yang baik untuk digunakan bagi mendirikan sesebuah kolam adalah tanah liat dan tanah berpasir dengan nisbah 3:2.

• Menternak makanan semulajadi
Makanan semulajadi ikan keli boleh diperolehi secara semulajadi mahupun diternak. Salah satu jenis makanan semulajadi ikan keli adalah kutu air ataupun Daphnia sp. Kutu air boleh diternak di dalam kolam simen (berukuran 1 m x 1 m x 0.25 m) atau fibreglass . Untuk mempercepatkan pertumbuahan dan pembiakan kutu air ianya hendaklah dibaja menggunakan tahi ayam kering sebanyak 2 - 5 gm/liter air.
i.) Masukkan air ke dalam kolam ternakan dengan menggunakan penapis yang kasar agar bendasing atau bahan-bahan yang tidak diperlukan tidak masuk ke dalam kolam.
ii.) Air di dalam kolam ternakan dibiarkan selama 3 - 4 hari.
iii.) Pada hari kelima, kutu air atau Daphinia akan terhasil dengan tahap pembiakan yang cepas sehingga mencapai puncaknya pada hari ke 7. Pada masa ini kutu air diambil dan diberikan kepada ikan keli menggunakan jaring halus berukuran 1.5 mm - 2 mm. Perubahan air kolam kepada warna keperang-perangan menandakan penternakan berjaya.
iv.) Proses ini diulangi dengan dos atau sukatan 1/2 dripada penternakan pertama untuk memastikan pertumbuhan kutu air yang berterusan. Proses ini dilakukan 7 - 8 hari sekali.

• Pembenihan.
Ikan keli umumnya membiak dengan meletakkan telurnya di dalam sarang. Selain itu ikan keli juga bertelur di bawah kayu atau batu di dalam air. Untuk menjalankan pembiakan ini para penternak mempraktikkan 2 sistem iaitu pembenihan secara pasangan dan pembenihan secara rawak.
i.) Pembenihan secara pasangan - Sepasang induk yang matang diletakkan di dalam sebuah kolam kecil untuk proses persenyawaan.
ii.) Ukuran kolam pembenihan adalah 2 m x 0.5 m. Pada salah satu bahagian sudut kolam tersebut diletakkan sarang yang merupakan batu bata sebagai tempat ikan bertelur.
iii.) Ukuran bagi sarang pula adalah 30 cm x 40 cm x 20 cm. Pintu atau lubang selebar 10 cm disediakan pada bahagian hadapan sarang sebagai tempat keluar dan masuk ikan. Di lantai sarang pula diletakkan sabut kelapa memenuhi ruang tersebut.
iv.) Kolam dikeringkan sebelum sesuatu proses persenyawaan dilakukan untuk membunuh kuman-kuman. Kemudian kolam diisi dengan air yang bersih dan jernih pada kedalaman 15 cm - 20 cm. Sepasang ikan (jantan dan betina) keli yang telah matang dijadikan induk di mana berat masing-masing adalah sama atau seakan akan sama. Induk dimasukkan ke dalam kolam pada sebelah pagi kerana pada kebiasaannya persenyawaan akan berlaku pada sebelah malam. Ini dapat dibuktikan pada keesokan harinya di mana terdapat telur-telur yang dihasilkan terlekat pada sabut sarang. Telur- telur ini akan dijaga oleh kedu-dua induknya secara bergilir-gilir.
v.) Telur-telur yang dihasilkan akan mula menetas selepas 3 hari. Pada hari yang keempat, benih yang beru menetas akan diberikan makanan merupakan kutu air atau cacing sutera. Pada masa ini induk jantan dan betina akan ditangkap dan dipindahkan ke dalam kolam pemeliharaan induk pada hari yang ke 7. Anak ikan ini akan dipelihara selama 3 minggu di dalam kolam pembenihan kemudian dipindahkan ke dalam kolam pemeliharaan.

i.) Pembenihan secara rawak - Kolam tempat pemeliharaan induk digunakan sebagai tempat persenyawaan. Di dalam kolam pada bahagian tepi diletakkan kotak-kotak sebagai tempat persenyawaan. Kotak-kotak ini dibuat daripada simen dan berukuran 50 cm x 50 cm x 60 cm. Sebuah lubang berukuran 15 cm disediakan di bahagian dalam kotak tersebut sebagai tempat keluar masuk induk ikan. Pada bahagian belakang kotak pula disediakan lubang untuk mengeringkan air ataupun mengeluarkan benih ikan. Kotak yang disediakan dilapis dengan sabut agar benih terlekat padanya. Bahagian atas kotak hendaklah ditutup agar sentiasa gelap dan ini merupakan sifat ikan keli dan jarak di antara setiap kotak persenyawaan adalah 100 cm.
ii.) Di dalam kolam tersebut dimasukkan sepasang ikan keli dengan keluasan kolam adalah 4m². Induk yang hendak disenyawakan perlulah diberi makanan yang berkhasiat seperti pallet dan makanan tambahan. Induk ikan keli yang matang akan mencari pasangannya sendiri dan akan masuk ke dalam kotak yang dikehendaki. Di sini induk betina akan melepaskan telur dan akan disenyawakan oleh yang jantan dengan sepermanya. Telut-telur tersebut akan melekat pada sabut yang terdapat di dalam sarang tersebut.
iii.) Seperti proses yang lain telur-telur itu akan menetas selepas 3 hari manakala hari ke 4 anak ikan keli akan diberikan makanan terdiri daripada kutu air atau cacing. Apabila umurnya mencapai 1 minggu bolehlah dipindahkan ke tempat lain untuk dipelihara.

i.) Pembenihan akuakultur - Melalui kaedah ini anak benih yang dihasilkan mampu bertahan lebih lama berbanding dengan kaedah tradisional. Kaedah ini merangkumi pemilihan induk yang matang dan penyediaan kolam yang bakal digunakan bagi persenyawaan. Untuk mendapatkan output yang maximum prosedur yang telah ditetapkan haruslah diikuti.
ia.) Pemilihan Induk - Ini bergantung kepada keupayaan dan pengetahuan mengenai ciri-ciri yang terdapat pada induk jantan dan betina.
- Induk betina:
Kepala lebih kecil, mulut bulat, perut lebar, tubuh yang mantap dan tidak cacat, beratnya boleh mencapai 150 gm - 250 gm setelah berumur melebihi 1 tahun, induk bukan dari jenis ikan yang sama, bertindakbalas terhadap makanan, mempunyai dayatahan penyakit serta cepat sembuh.
- Induk jantan:
Memiliki rupa dan tubuh yang mantap, mulut bulat, warna cerah dan tidak cacat, umur minima 1 tahun di mana beratnya boleh mencapai 150 gm - 250 gm, induk bukan dari jenisikan yang sama, bertindakbalas terhadap makanan, mempunyai dayatahan penyakit serta cepat sembuh.
ii.) Perkara yang diberi perhatian semasa pemilihan induk ikan adalah:
- Kepadatan penebarannya.
- Jenis makanan serta jumlah yang diberikan
- Dasar kolam merupakan tanah dan bersaiz 20 m x 10 m x 1 m
- Kolam hendaklah dikeringkan kemudian diairkan semula
- Kutu air diternak dan dibaja menggunakan najis ayam kering sebanyak 200 gm/m² juga diletakkan kapur pertanian sebanyak 50 gm/².
- Tinggi air yang disyorkan di dalam kolam adalah 60 cm - 80 cm dari dasar kolam. 10 - 15 ekor/m² induk ikan akan dimasukkan ke dalam kolam dan berat induk ikan adalah 50 - 100 gm seekor.
iii.) Induk ikan akan diberi makanan tambahan seperti pallet dengan sukatan:
- Protein = 32 - 35%
- Lemak = 7 - 8%
- Karbohidrat = 30%
- Vitamin = 1 - 2%
iv.) Sehari jumlah makanan yang akan diberikan adalah 3% daripada berat badan ikan itu sendiri sebanyak 3 kali sehari pagi, petang dan malam. Proses penjagaan dan pemeliharaan ikan ini dilakukan selama 2 hingga 3 bulan. Apabila sampai waktunya berat badan ikan boleh mencapai 150 gm seekor.

• Pemeliharaan Induk.
i.) Di dalam proses pemeliharaan ini, Induk jantan dan betina dipelihara berasingan di dalam kolam yang berbatas seluas 40 - 40 m². Kolam ini akan dikeringkan selama 3 - 4 hari bagi membunuh segala kuman-kuman yang terdapat di dalamnya serta memudahkan proses pembajaan. Kolam dibaja menggunakan 200 gm/m² najis ayam dan 50 gm/m² kapur. Kolam akan diisi dengan air berserta baja pada kedalaman 80 cm - 100 cm di mana sebanyak 3 - 5 ekor/m² induk ikan sahaja yang akan dimasukkan.
ii.) Bagi mempercepatkan proses kematangan makanan tambahan (pallet) dan alternatif (anak-anak ikan atau daging siput) perlu diberikan. Makanan ini diberikan secara selang-seli.

• Teknik Persenyawaan
i.) Berpasangan di dalam kolam
- Kolam dengan keluasan 1m² - 2 m² dikeringkan dan dibersihkan.
- Pintu discharge ditutup sempurna.
- Kolam diisi air sehingga 40 cm.
- Sabut kelapa disediakan.
- Pemilihan ikan keli yang telah matang dari kolam induk.
- Waktu persenyawaan adalah pada waktu pagi.
- Pengawasan harus dijalankan setiap hari untuk memastikan proses persenyawaan telah berlaku dengan memeriksa sabut di dalam sarang..
- Tanda mengawan ialah terdapat telur pada sabut, terdapat induk yang sentiasa menjaga sarangnya dan terdapat ikan yang melibaskan ekornya untuk meningkatkan kesegaran atau meningkatkan kandungan oksigen di dalam air.
- Anak ikan yang menetas akan diberikan makanan tambahan terdiri daripada kutu air atau cacing sutera pada hari ke 4.
- Tempoh bagi penjagaan setiap kolam persenyawaan adalah 2 - 3 minggu kemudian benih boleh dipindahkan ke tempat pemeliharaan.

ii.) Secara rawak.
- Saiz kolam adalah 15 - 20 m²
- Kolam mestilah mempunyai pintu masuk dan keluar air serta dipasangkan jaring atau net.
- Sarang ditempatkan di tepi kolam sebanyak 1/3 dari jumlah induk betina dan berukuran 50 x 50 x 60 cm serta dibuat daripada simen.
- Bagi kedalamannya pula adalah 30 cm, sarang mestilah mempunyai lubang tempat ikan keluar dan masuk.
- Jarak antara sarang adalah 75 cm - 100 cm dan perlulah gelap.
- Kolam yang bakal digunakan mesti dikeringkan selama 3 - 4 hari serta dibaja dengan 200 gm/m² najis ayam kering dan 50 gm/m² kapur. Kolam yang berisi baja dan kapur diisi air sedalam 80 cm - 100 cm serta dimasukkan 3 - 5 ekor/m² ikan sahaja dengan nisbah 1:2 (jantan:betina) dan matang.
- Untuk merangsang proses persenyawaan ketinggian air kolam perlu dikawal.
- Telur akan menetas dalam masa 2 -3 hari selepas proses persenyawaan.

• Pemeliharaan.
i.) Proses pemeliharaan ikan keli sebaik-baiknya dilakukan di dalam kolam simen. Kolam perlulah terlindung daripada pancaran cahaya matahari dan hujan. Benih yang terhasil akan mati jika dibiarkan air hujan memasuki kolam. Ukuran kolam peliharaan yang disyorkan adalah 5 - 10 m² serta mempunyai pintu masuk dan keluar air. Kolam yang akan digunakan mestilah dikeringkan selama 1 - 2 hari dan ketinggian air di dalamnya adalah 20 cm - 30 cm. Potongan buluh diletakkan di dalam kolam sebagai tempat untuk ikan berlindung.
ii.) Penebaran benih perlulah dilakukan pada sebelah pagi ketika suhu masih rendah bagi mengelakkan tekanan pada benih. Benih yang digunakan adalah hasil daripada proses persenyawaan. Sekiranya anda membeli benih dari tempat lain ianya perlulah dibiarkan terapung selama 5 minit di atas kolam bagi penyesuaian sebelum dilepaskan keluar dengan sendirinya, kepadatan yang disyorkan adalah 150 ekor/m² air.
iii.) Benih diberi makanan tambahan dari makanan buatan berkadar protein sebanyak 40% sepanjang tempoh dan proses pemeliharaan dilakukan. Jumlah makanan mestikal mengikut sukatan di mana 5% daripada berat benih ikan dengan menabur dikeseluruhan permukaan kolam sebanyak 3 kali sehari (pagi, petang, malam). Kualiti air hendaklah sentiasa diberi perhatian dan penggantian perlu dilakukan bagi kolam yang mempunyai air yang statik. Pengairan air di dalam kolam adalah 0.04 liter/s. Benih dan ikan yang mati atau diserang penyakit perlu diasingkan atau dibuang. Ikan ini akan dipelihara di dalam kolam pemeliharaan selama 2 bulan.
iv.) Sebaik sahaja benih mencapai ukuran yang ditetapkan bolehlah dikumpul, proses ini dijalankan pada waktu pagi atau ketika suhu rendah. Ini dilakukan dengan mengeringkan kolam secara perlahan-lahan. Bagi mengelakkan ikan daripada tercedera penyedok jaring digunakan. Andai kata teknik pemeliharaan yang digunakan sesuai dan tidak dijangkiti penyakit, tempoh pemeliharaan adalah 20% - 30% daripada jumlah benih.
v.) Ikan keli yang dijual mempunyai berat badan 150 gm - 200 gm seekor atau mencapai umur 6 bulan. Ikan keli lebih sesuai dipelihara di dalam kolam tembok di mana dasarnya adalah tanah dan luas yang disyorkan adalah 20 m².
vi.) Pemindahan secara terbuka sesuai bagi ikan yang telah besar menggunakan tong plastik atau kolam. Pemindahan tertutup kebiasaannya menggunakan plastik yang mengandungi oksigen. Ini dikira berdasarkan faktor-faktor seperti teknik yang digunakan, pengangkutan, tempoh dan jarak pemindahan, jumlah atau ukuran ikan serta waktu pemindahan dijalankan. Semasa proses pemindahan benih ikan tidak akan diberi makan untuk mengelakkan kotoran dan seterusnya menyebabkan kekurangan oksigen serta menyebabkan keracunan.

• Pencegahan pemangsa dan penyakit.
Di antara pemangsa yang sering menyerang ikan keli adalah ular; belut dan ikan gabus. Manakala penyakit yang biasa menyerang ikan keli terbahagi kepada 2 jenis iaitu penyakit yang sering menyerang bahagian dalaman ikan seperti jantung, usus dan hati dikenalisebagai Endotem. Manakala penyakit yang sering menyerang bahagian luar ikan pula adalah Eksotem yang menyerang bahagian tubuh seperti sirip. Langkah pencegahan yang perlu dilakukan adalah:
- Kolam perlu dikeringkan dan dikapur untuk membunuh kuman.
- Kualiti air mesti sentiasa diberi perhatian.
- Makanan tambahan sesuai dengan dos yang ditetapkan.
- Proses pemungutan hasil perlulah dilakukan dengan berhati-hati agar tiada kecederaan berlaku.
- Binatang dan haiwan pemangsa serta pembawa penyakit dihalang daripada memasuki kolam ternakan.

• Pallet buatan
- Protein : Serbuk ikan, daging siput atau sisa penternakan.
- Karbohidrat : Dedak halus (dedak ayam) dan hampas soya.
- Mineral : Dapatkan dari kedai menjual makanan ternakan.
- Vitamin : Dapatkan dari kedai menjual makanan ternakan.
Bagi anak ikan yang berusia 4 hari, makanan semulajadi bagi ikan keli seperti cacing boleh diberikan.
• Penutup.
Penulis berharap penjelasan yang diberikan boleh dijadikan panduan buat anda dan sebagai sumber rujukan yang berguna buat semua.

Kredit 

"Tunjuk Ajar Langkah Demi Langkah Bagaimana Memulakan Perniagaan dalam Bidang Penternakan Ikan Keli dengan Mudah seterusnya Menjadi Usahawan Ternak Yang Berjaya!"

Mudah dipelajari, kos rendah, permintaan tinggi, dan boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja di mana-mana sahaja!


Ketahui rahsia perniagaan Ikan Keli yang menguntungkan melalui Ebook Panduan Pembenihan dan Penternakan Ikan Keli. Ia memimpin dan mengajar anda bagaimana memulakan perniagaan Ikan Keli melalui kaedah yang mudah dengan kos yang rendah serta menjamin keuntungan berlipatganda.

 
As seen on : Panduan lengkap penternakan ikan keli tanpa buat anda RUGI!

No comments:

Post a Comment

Popular Posts

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...